Bukanlah niat hati untuk mencari perang atau meminta simpati. Cuma  hati ini terlalu bimbang melihat keadaanmu dewasa ini. Saban hari  bertambah parah.
Hati manakah yang tidak sayu melihatmu begitu andai empunya diri ini  jua memiliki kakak dan adik yang sejiwa denganmu. Jiwa yang begitu  halus. Tempat yang bersarang naluri keibuan.
"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan  keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu;  penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak  mendurhakai (perintah) Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada  mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." (At-Tahrim : 6)
Pakaian adalah lambang keperibadian akhlak. Setuju? Lantas apakah  yang mendorong engkau masih memakai pakaian ahli maksiat? Kelak kerana  pakaian itu engkau akan dihumban ke neraka!
Aku tahu, jauh di sudut hatimu, ingin benar kau menjadi muslimah yang  solehah. Ia tersemat kukuh. Kerana itulah fitrah. Fitrah yang suci.  Fitrah yang indah.
"Hadapkanlah wajahmu dengan lurus pada agama (Allah);  (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan menurut fitrah itu.  Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi  kebanyakan manusia tidak mengetahui (ar-Rum:30)
Sungguh indah fitrah itu. Madu iman meyelaputinya.
Kembalilah kepada fitrah Islam, pasti engkau dapat merasai manisnya  madu iman itu. Ya, amat manis. Tapi ia hanyalah dikhaskan kepada yang  benar-benar berusaha untuk mendapatkannya. Aku tahu, untuk kembali  kepada fitrah itu terlalu banyak besi halangan dan paku keperitan.  Benarlah sabda Nabi Muhammad saw :
"Neraka itu dikelilingi oleh kesenangan, dan syurga itu dikelilingi oleh kesukaran." (HR Bukhari dan Muslim)
Namun tiada alasan untuk kita tidak kembali membersihkan segala noda  dan titik hitam dalam hati andai kita benar-benar inginkan. Hendak  seribu daya.
Terkadang aku pelik. Tudungmu sudah elok, menutup segala rambutmu.  Namun jelek dan pelik bila engkau pakaikan baju yang berlengan pendek.  Lagi malang baju adikmu yang kau sarungkan pada badanmu. Bila ditanya,  inilah fesyen terkini jawabnya. Namun aku cabar jawapan ini lah yang  akan engkau berikan  di hadapan Allah nanti. Adakah masih diberi  kekuatan untuk menuturkannya sedemikian rupa?
Mengertilah. Aurat itu bukan hanya terletak pada rambut. Namun pada  seluruh anggotamu kecuali tapak tangan dan mukamu. Aku yakin engkau  sudah tahu cuma tidak mahu mengerti. Mengapa begini? Bukankah kau ingin  kembali kepada fitrah?
"Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka." (Surah al-Nur: 31)
"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak  perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya  bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian  lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik)  maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha  Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Ahzab : 59)
Terkadang aku terdengar kau merungut. Merungut kerana auratmu terlalu  berat berbanding aurat lelaki bagimu. Usah begitu. Sebaliknya kau harus  berbangga kerana engkau adalah ibarat permata yang tidak ternilai  harganya. Lantas kerana itulah engkau dijaga rapi tanpa calar.
Apakah kau tidak melihat wanita barat yang hilang ketamadunan dan  maruah serta malu angkara tidak dijaga oleh agama mereka. Mereka umpama  batu hitam penuh debu di jalanan yang boleh dikutip dan dibuang sesuka  hati. Aku pasti engkau tidak mahu begitu.
"Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia  adalah wanita yang solehah." (HR. Muslim, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ahmad)
Aku menyeru dengan seruan sayang dan kasih sebagai adik atau abangmu,  marilah sama-sama kita kembali kepada fitrah. Singkirkan segala pakaian  ahli maksiat dan pakaikan pakaian solehah.
Moga Allah memberi kekuatan untuk kembali kepada fitrah. Rapatlah  dengan-Nya, pasti kekuatan itu timbul tanpa dipinta. Aku menyeru dan  menasihati diriku terlebih dahulu.
Buatlah pilihan tekad. Mulakan dengan dirimu. Pasti sahabatmu yang  lain mengikutimu. Walau pada awal mereka kelihatan menentang atau tidak  suka perubahanmu namun, hatinya juga seperti hatimu. Ingin jua menjadi  muslimah sejati. Hanya kekuatan belum muncul.
Ayuh, tanggalkan segala pakaian ahli neraka itu. Pakaikanlah pakaian  fitrah. Pakaian ahli syurga. Tutuplah auratmu. Rapatlah dengan-Nya.  InsyaAllah Dia akan membantu merealisasikan hasratmu itu.



 
 
No comments:
Post a Comment