Beratnya untuk melepaskan dia pergi. Selama ini, tangan ini yang membelainya. Selama ini, hati ini yang selalu bimbangkannya.
Sejak suara tangisnya yang pertama, sejak ku laungkan azan di  telinganya, aku begitu mengasihinya. Ya, dia adalah permata hatiku.  Namun, dia bukan selamanya milikku....
Rumah ini, cuma persinggahan dalam perjalanannya menuju kedewasaan.  Dan kini sudah hampir masanya kau pamit. Walaupun di hatiku tercalar  sedikit rasa pahit, tapi siapalah aku yang boleh menahan perjalanan  waktu? Siapakah aku untuk menahan realiti kedewasaan? Maafkan aku wahai  anak....
Bukan aku tidak tega, tetapi kerana terlalu cinta!
Hatiku tertanya-tanya, apakah ada insan lain yang boleh menjaganya  sepenuh hati. Sejak bertatih, aku melihat jatuh bangunnya tanpa rasa  letih. Siapakah yang membalut luka hatinya dalam kembara itu nanti?
Aku jauh......bila segalanya bertukar tangan, amanah akan diserahkan.  Aku tahu saat itu aku mesti mula melepaskan. Itu satu hakikat.
Cinta bukan bereti mengikat... tetapi melepaskan, membebaskan.
Kau umpama anak burung yang telah bersayap, telah mampu terbang  membelah awan, meninggalkan sarang. Apakah aku terlalu dungu untuk terus  membelenggu?
Puteriku... kau terpaksa ku lepaskan.... Apakah si dia mampu  menyayanginya seperti aku? Ah, mengapa rasa curiga ini datang  bertandang. Bukankah segalanya telah di putuskan sejak dia membisikkan  bahawa hatinya telah diserahkan kepada 'si dia'- lelaki pilihannya?  Bukankah segala perbincangan musim lalu telah terungkai dan keputusannya  telah dimeterai?
Namun... hati ayah.... Hati abah... pasti ada gundah. Sudah pasrah,  tapi diguris goyah. Bolak-balik hati ini wahai anak...terlalu laju untuk  dipaku.
Tepatkah plihanmu? Tepatkah keputusanku? Namun siapakah kita yang  boleh membaca masa depan? Layakkah kita mengukur kesudahan di batas  permulaan?
Sangka baik jadi penawar. Kau anak yang baik, insyaAllah pilihanmu  juga baik. Tuhan tidak akan mengecewakanmu. Jodohmu telah ditentukan.  Dan ketentuan Allah itu pasti ada kebaikan!
Kekadang, aku diserbu seribu pertanyaan. Apakah aku masih di hatinya  setelah dia bersuami nanti? Atau aku hanya akan menjadi tugu kenangan  yang dijengah sekali-sekala?
Bukan, bukan aku membangkit, jauh sekali mengungkit...upayaku mendidikmu bukan suatu jasa. Itu hanya satu amanah.
Namun, ketika usia menjangkau senja, aku pasti semakin sepi......aku  akan mengulang-ulang kisah lama yang penuh nostalgia. Diulit oleh  kenangan indah musim lalu, ketika dia begitu manja di sisi. Aku ingin  mendengar lagi suaranya yang dulu-dulu. Mengadu tentang ini dan itu.  Bercerita dan berkisah, dengan lidahmu yang petah dan lagak yang penuh  keletah.
Pergilah. Aku rela. Allah bersamamu.
Doaku mengiringi setiap langkah di alam rumah tanggamu nanti. Moga si dia akan menjaganya seperti aku menjaga ibunya, umminya.
Aku akan bersangka baik. Justeru Allah itu menurut sangkaan  hamba-hamba-Nya. Aku bersangka baik, insyaAllah, dia dan aku akan  mendapat yang terbaik.


 
 
No comments:
Post a Comment