Ingatlah firman Allah yang berbunyi: 
“Dia  telah memilih kamu dan Dia tidak sekali-kali menjadikan untuk kamu  dalam agama satu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia  telah menamakan kamu sekalian orang-orang Muslimin dahulu dan (begitu  pula) dalam Al-Quran ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas kamu dan  supaya kamu menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah solat,  tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu kepada (tali) Allah, Dia adalah  pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik  penolong.” 
(Surah Al-Hajj: ayat 78) 
Saya Mestilah Muslim di Sudut Aqidah: 
Aqidah  yang benar dan sah adalah menjadi syarat pertama kepada pengakuan  seseorang yang telah menerima Islam sebagai agama yang mengatur  hidupnya. Aqidah tersebut mestilah sejajar dengan apa yang telah  termaktub dalam kitab Al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Saya  mestilah beriman dan mempercayai perkara yang telah diimani dan  dipercayai oleh para salafussoleh dan para imam yang telah terbukti  kebajikan, kebaikan, ketaqwaan dan kefahaman mereka yang tepat dan benar  terhadap Islam. 
Untuk menjadikan aqidah saya benar-benar diiktiraf sebagai aqidah seorang Muslim saya mestilah: 
1.    Mengimani dan meyakini bahawa pencipta alam sejagat ini ialah Allah  yang Maha Bijaksana, Maha Mengetahui dan tidak memerlukan pertolongan  orang lain. Kesemua ini dapat dibuktikan melalui keindahan, kerapian dan  keselarasan alam ciptaan Allah, yang mana setiap unit alam ciptaan  Allah ini memerlukan unit yang lain untuk menjamin kewujudan dan  kestabilannya. Satu unit daripada kejadian alam ini tidak mungkin wujud  dalam keadaan yang stabil tanpa kewujudan unit yang lain.
Kewujudan alam  yang seindah dan sekemas ini tidak akan terjamin keselamatan dan  kesejahteraannya tanpa tadbir dari Allah yang Maha Berkuasa. Dalam  hubungan ini Allah telah berfirman: 
“Sekiranya  ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain daripada Allah, tentulah  keduanya itu telah rosak binasa, maka Maha Suci Allah yang mempunyai  arasy daripada apa yang mereka sifatkan.” 
(Surah Al-Anbiyaa’: ayat 22) 
2.Saya  mestilah mengimani dan meyakini bahawa Allah tidak menciptakan alam ini  tanpa tujuan atau untuk bermain-main sahaja, kerana perbuatan sia-sia  dan main-main yang tidak mempunyai tujuan itu tidak layak bagi Allah  yang bersifat dengan sifat-sifat  kesempurnaan. 
Matlamat  dan tujuan Allah menciptakan alam ini sukar difahami secara terperinci  kecuali melalui seseorang rasul yang diutuskan Allah atau melalui wahyu  Allah. Dalam hubungan ini Allah berfirman: 
“Maka  apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu untuk  bermain-main (sahaja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada  Kami, maka Maha Suci Allah raja yang sebenarnya tiada Tuhan selain Dia,  Tuhan (yang mempunyai) arasy yang mulia.” 
(Surah Al-Mukminun: ayat 115-116) 
3.Saya  mestilah mengimani dan meyakini bahawa Allah telah mengutuskan para  rasul dan menurunkan kitab Allah untuk mengajar manusia mengenal Allah  dan memberitahu mereka tentang matlamat kewujudan mereka di dunia ini  dan ke mana akhirnya penghidupan mereka. Saya mestilah beriman bahawa  Nabi Muhammad s.a.w. adalah rasul yang terakhir dari para rasul yang  diutuskan Allah. Beliau telah dibantu dan diperkuatkan Allah dengan  Al-Quran sebagai mukjizat yang kekal abadi. Dalam hubungan ini Allah  berfirman: 
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan) 
‘Sembahlah  Allah (sahaja) dan jauhilah thaghut itu’. Maka di antara umat itu ada  orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya  orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya.” (Surah An-Nahl: ayat 36) 

 
 
No comments:
Post a Comment