Dia  terlalu sayangkan aku. Itu yang aku  sangat pasti. Atas sebab itu aku  rasa terlalu selesa kerana aku yakin  dia tak kan meninggalkan aku. Dia  sanggup mengetepikan kepentingan diri  sebab nak menjaga hati aku. Sering  aku biarkan dia memujuk dirinya  sendiri bila dia merajuk. Buat apa aku  nak pening-pening pujuk dia  kalau dia sendiri akan kembali padaku dan  meminta maaf atas  keterlanjuran sikapnya sendiri. Sebarang perselisihan,  dia yang akan  mengalah dan dia akan menyalahkan dirinya sendiri  walaupun jelas memang  salahku.
Dia wanita yang rela  berkorban apa  sahaja kecuali satu, dia tak mahu dirinya disentuh sebelum  kami  memiliki ikatan yang sah . Dan atas sebab yang satu itu aku rasa  dia  perempuan yang membosankan. Nak pimpin tangan pun tak boleh. Apatah   lagi nak peluk. Ada pun bergesel bahu itu pun sebab aku yang sengaja.   Sampai satu tahap aku rasa dia sangat membosankan. Aku cemburu tengok   kawan-kawan aku boleh pegang tangan awek diorang. Tapi aku? Bila aku   cakap macam tu, dia cuma senyum dan cakap pada aku, “Belum tentu   perempuan yang sentuh boyfriend dia tu sayang boyfriend dia lebih dari   saya sayang awak… Belum tentu perempuan tu ada masa susah senang   boyfriend dia macam saya ada untuk awak…
Yang nyata, aku  langsung tak  setuju jawapan dia tu. Aku tengok pasangan lain bahagia,  sudah tentu  girlfriend kawan-kawan aku sayangkan mereka sebab girlfriend   masing-masing membelai kawan-kawan aku dengan penuh kasih sayang. Tapi   aku? Jangan harap. Balik-balik jawapan yang sama. Tunggu lepas kahwin.   Aku bosan tahu tak! Sampai satu masa aku dah tak tahan lagi. Aku minta   kami berpisah. Aku nampak air matanya berlinang tapi sikit pun aku tak   rasa kasihan.
“Mungkin kita tak ada jodoh. Awak  lelaki  yang baik. Awak berhak dapat perempuan yang lebih baik. Saya nak  awak  janji dengan saya satu benda, untuk kali terakhir. Satu hari  nanti bila  awak jatuh cinta dan awak betul-betul sayangkan dia, hargai  perempuan  tu. Mudah-mudahan perempuan tu akan sayang awak, terima awak  seadanya,  hormati awak sebagai lelaki dan yang paling penting  bahagiakan awak.  Saya akan bahagia tengok awak bahagia,” tu kata-kata  terakhir dia untuk  aku. Dia senyum walaupun air mata berlinang.
Argh! Tak  habis-habis nak tunjuk  mulia. Bosanlah dengan perempuan macam ni. Malas  aku menghadap dia  lama-lama. Cepat-cepat aku nak blah dari situ.  Tiba-tiba ada bunyi hon  dan sedar-sedar aku sudah tersungkur di seberang  jalan. Satu dentuman  yang kuat bergema dan aku lihat dia terbaring di  hadapan sebuah kereta.  Dia selamatkan aku! Lelaki yang dah menyakitinya!  Darah membuak-buak  keluar dari kepalanya. Ambulans datang dan membawa  aku dan dia pergi.
Di  hospital keadaan kelam kabut. Dia perlu  dibedah segera kerana  kecederaan teruk di kepala. Ramai kawan-kawan dan  keluarganya turut ada  sama. Aku tengok seorang wanita yang hampir sebaya  ibuku menangis.  Mungkin ibu dia. Mengalirnya air mata seorang ibu  kerana aku. Rasa  bersalah menimpa aku. Aku dah sakiti dia tapi dia rela  berkorban nyawa  untuk aku. Aku berdoa semoga dia selamat. Semoga aku  sempat meminta  maaf. Semoga masih ada ruang dalam hati dia untuk aku.  Dia sangat baik.  Aku tak mahu kehilangan dia. Dia ikhlas sayangkan aku.
Selepas  beberapa jam pembedahan  selesai. Dia berada di dalam ICU. Dia koma,  tapi doktor kata dia masih  mampu mendengar. Tiba-tiba seorang kawannya  menghampiri aku. Kawannya  menghulurkan sesuatu. “Aku rasa benda ni dia  nak bagi pada kau,” hanya  itu yang gadis itu ucapkan pada aku. Kawannya  terus berlalu selepas  itu. Pandangan kawannya pada aku penuh benci.  Tahukan kawan dia tentang  kejadian sebenar? Yang nyata aku tak pernah  mahu berbaik dengan  kawan-kawan dia. Pernah juga dia bersuara tentang  hal itu tapi aku  sekadar buat tak tahu.
Pulang sahaja aku  buka bungkusan  itu. Pasti hadiah untuk hari lahirku. Hari lahirku dua  minggu lagi.  Balutan kertas itu kubuka dan di dalamnya ada botol kaca  berbentuk  hati. Di dalam botol itu penuh dengan origami berbentuk  bintang. Ada  kad kecil berwarna biru kegemaranku. Aku sebak membaca  bait-bait dalam  kad itu.

“ Dalam origami bintang ni ada kata-kata saya untuk awak. Awak buka setiap hari SATU sahaja. Mungkin saya tak dapat nak hubungi awak setiap hari sebab kesibukan kerja. Tapi, bila awak baca setiap hari, anggaplah setiap hari saya berhubung dengan awak. Saya nak awak tahu setiap masa awak ada dalam hati saya. Happy Birthday sayang…”
Aku buka botol kaca  berbentuk hati itu dan  kuambil satu bintang. Kubuka origami itu dan di  dalamnya tertulis,  “Love is like a poisonous mushroom. You don’t know if  it is the real  thing until it is too late..” Aku tersenyum sendiri. Aku  buka lagi  bintang yang seterusnya. Walaupun dia meletakkan syarat satu  hari cuma  satu. Di dalam semua origami itu penuh kata-kata semangatnya  untuk aku  dan suara cintanya yang ikhlas. Demi Allah, sepanjang aku  bergelar  lelaki dewasa, inilah pertama kali aku menangis semahunya. Air  mata aku  tak berhenti mengalir sepanjang membaca kata-kata dalam origami  itu  sehingga habis semuanya kubaca. Aku telah menyakiti seorang wanita  yang  luhur.
Aku melawatnya di hospital. Walaupun  mukanya  penuh calar, bibirnya pucat dan kepalanya berbalut, dia tetap  cantik di  mata aku. Dia bukanlah wanita yang memerlukan make up tebal  kerana dia  memiliki kecantikan asli. Atas sebab itu aku menghalangnya  terlalu rapat  dengan mana-mana lelaki kerana gusar jika ada yang  tertarik. Dia  sekadar menurut. Demi menjaga hati aku. Aku capai  tangannya yang  berselirat dengan pelbagai wayar yang aku pun tak tahu.  Sejuk tapi  betapa lembutnya tangannya. Pertama kali aku menyentuhnya.
Aku  bisikkan ketelinganya,  “Sayang..saya datang… Cepatlah sedar. Saya  rindukan awak. Saya banyak  bersalah pada awak. Saya minta maaf,” pertama  kali aku minta maaf  darinya. Tiba-tiba denyutan nadinya jadi tidak  menentu. Aku panic.
“Hei, apa yang kau dah buat pada dia?   Tak cukup kau sakiti kawan aku?” jerkahan kawannya mengejutkan aku.   Doktor dan beberapa jururawat bergegas masuk dan aku diminta keluar.
Setiap  hari aku berdoa supaya dia  cepat sembuh, cepat sedar. Aku gusar  sekiranya Allah mengambil  nyawanya. Bukan aku tidak redha dengan  ketentuan, aku sedar aku masih  perlukan dia. Aku sayangkan dia. Genap  dua minggu, aku mendapat berita  dia sudah sedar. Aku bersyukur. Inilah  hadiah hari lahir yang paling  bermakna untuk aku. Dia juga sudah  dipindahkan ke wad biasa. Aku mahu  melawat dia. Aku rindu senyuman dia.
Aku  mendapat panggilan telefon yang  meminta aku mengambil tempahan. Namun  kerana terlalu gelojoh, aku  terlanggar botol kaca bentuk hati pemberian  dia. Ah, semuanya akan aku  uruskan nanti. Aku biarkan serpihan kaca  bertaburan di lantai.
Tak sangka dia menempah kek khas   untuk aku. Dia atas kek itu tertera bahagian belakang jersi pasukan bola   sepak kegemaranku, Arsenal berserta namaku dan nombor kegemaranku. Aku   senyum sendiri. Bahagianya aku.
“Abang  bertuah. Girlfriend abang  cakap dia tak tahu apa-apa fasal bola. Dia  cuma tahu pasukan apa yang  abang minat dan nombor yang abang suka.  Sebab tu dia tempah kek ni khas  untuk abang dan minta abang ambil sebab  dia nak buat surprise. Dia cakap  dia nak makan kek ni dengan abang.  Kakak tu cantik, baik pulak tu.  Abang kirim salam pada akak ya? Abang  jaga akak tu elok-elok,” ramah  gadis yang bekerja sebagai juruwang di  kedai itu memberitahuku. Aku  senyum sepanjang jalan ke hospital.
Sampai di hospital aku  lihat dia  sedang duduk di atas katil. Tiada sesiapa bersamanya. Dia  sekadar  termenung. Aku senyum padanya. Dia seakan terkejut melihat aku  datang.  Aku terfikir juga, boleh ke orang sakit makan kek? Tapi kan dia  nak  makan kek ni dengan aku.
“Sayang.. terima kasih kek  ni. Saya  happy sangat awak dah sedar. Adik cashier kedai tu kirim salam  pada  awak. Dia cakap awak nak makan kek ni dengan saya. Saya suapkan  ya?”  aku suakan sudu pada dia. Tapi sesuatu yang aku tak pernah duga,  dia  tepis tangan aku sampai sudu terpelanting ke lantai. Dia tak pernah   kasar dengan aku. Dia selalu melayan aku dengan lembut. Aku pernah cuba   pegang tangan dia pun dia tolak dengan baik. Mungkin dia terlalu  terluka  dengan aku.
“Baliklah. Saya makin sakit tengok  awak.  Bawak balik kek tu sekali. Saya tak nak tengok apa-apa berkaitan  awak  lagi,” pantas dia menarik selimut menutup muka. Aku terkedu  sendiri. Dia  tak mahu pandang aku lagi. Hati dia dah tertutup untuk  aku. Dia tak  pernah macam ni. 
Selang beberapa hari, aku datang lagi   tapi katil dia sudah kosong. Aku risau jika apa-apa yang buruk berlaku   padanya. Dari jururawat aku tahu dia sudah dibenarkan pulang kerana   keadaanya sudah stabil. Tapi yang mebuatkan jantung aku hampir gugur   bila jururawat itu memberitahu dia masih menjalani rawatan susulan dan   terapi kerana dia lumpuh. Dia lumpuh kerana aku!
Itu semua  tiga tahun yang lalu.  Sejak kejadian tu aku tak pernah jumpa dia lagi.  Tahu apa-apa khabar  berita pun tidak kerana aku memang tak pernah nak  berbaik dengan  kawan-kawannya. Walaupun sudah tiga tahun tapi aku masih  merinduinya.  Aku tak jumpa wanita yang mampu menyayangi aku lebih dari  dia. Ah,  panjangnya menung aku sampai nasi di hadapan mata sudah hampir  dingin.
Baru aku hendak menyuap makanan ke  dalam mulut,  mataku terpaku pada satu wajah yang duduk selang beberapa  meja dari aku.  Dia? Aku pasti tu dia. Senyum dia masih sama. Tapi  keadaan tidak lagi  serupa. Dia sedang makan bersama lelaki lain.
Sesekali aku  lihat dia mengusap  perutnya. Dia mengandung. Maknanya dia sudah kahwin.  Dan aku lihat  lelaki yang juga makan di sebelahnya mengusap-usap tangan  dia. Pasti  itu suaminya. Dan aku sedar aku tak setanding suaminya sebab  lelaki itu  kelihatan lebih serba-serbi dari aku. Air mataku rasa ingin  mengalir.  Senyuman mahal milik dia yang dulu cuma untuk aku kini khas  buat lelaki  lain.
Suaminya lelaki bertuah. Itu aku tak   nafikan. Cuma suaminya yang dapat menyentuhnya. Cuma suaminya yang  dapat  melihat apa yang terlindung. Dan aku sangat pasti, cuma suaminya  yang  mendapat takhta paling agung dalam hatinya yang suci.
Dia  seperti botol kaca berbentuk  hati yang pernah diberikan padaku dulu.  Botol itu sudah pecah, namun  aku sudah ganti dengan yang baru. Yang sama  tapi tak serupa. Botol yang  lama dipilih oleh dia dan yang baru dipilih  oleh aku. Walapun aku  masih menyimpan serpihan kaca botol itu,  bentuknya tak lagi sama macam  dulu. Dan sangat mustahil untuk kembali  seperti dulu.
Pesanan buat semua lelaki, hargailah wanita yang menyayangi kamu. Jangan jadi macam aku.
Matanya sangat cantik tapi aku selalu biarkan dia mengalirkan air mata dengan perbuatanku.
Hidungnya   yang kecil dan comel selalu aku sesakkan dengan asap rokokku walaupun   aku tahu dia tak suka dan asap rokok boleh buat dia sakit kepala.
Bibirnya sangat indah tapi aku selalu biarkan bibir itu tersenyum paksa kerana mengalah dengan setiap kemahuanku.
Telinganya aku tak pernah nampak, terlindung, tapi telinga itu sering aku biarkan menerima segala marahku.
Hatinya sangat lembut, dan aku selalu toreh dengan belati tajam dan aku biarkan dia merawat sendiri luka itu.
Akhirnya, aku hanyalah Lelaki Ego yang tak memiliki apa-apa kerana dia sudah dimiliki orang lain.


 
 
No comments:
Post a Comment