Wahai saudari-saudari muslimahku,
Cubalah kalian nilaikan berapa banyakkah ibadah-ibadah yang kalian  boleh  lakukan ketika haid tetapi kalian masih tidak melakukannya.  Bukaklah  Hisnul Muslim, lihatlah doa-doa dan zikir-zikir yang Nabi  Muhammad s.a.w  amalkan, nilailah, cerminlah diri kita sudahkah kita  amal semua  zikir-zikir yang ada di dalamnya.
Jika masih belum puas, periksalah pula kitab al-Adzkar oleh Imam   an-Nawawi. Lihat berapa banyak zikir-zikir dan doa-doa yang kalian belum   amalkan. Jadi tiada alasan untuk kalian wahai-wahai srikandi tercinta   untuk berkata bahawa apabila haid maka kami kurang beribadah berbanding   lelaki.
Wahai saudari-saudari seaqidahku,
Dalam bab membaca dan menyentuh al-Quran. Ulama-ulama umat masih  berbeza  pendapat tentang pengharamannya. Seandainya saudari berpegang  kepada  pendapat mengharamkannya, masih banyak ibadah yang saudari boleh  lakukan  bahkan tak akan habis untuk saudari lakukan di satu malam.
Wahai srikandiku,
Apabila kalian uzur, bukan alasan untuk kalian menghabiskan masa   menonton televisyen tatkala si suami sedang bersolat. Bukanlah ia   menjadi alasan untuk saudari menghabiskan hari siang dan malammu dengan   tidur dan membiarkan si suami bersolat malam sendirian. Bukan juga ia   menjadi alasan untuk kalian membiarkan anak-anak terkapai-kapai   mempelajari al-Quran sendirian.
Wahai srikandiku,
Cuba kalian kira, berapa minitkah bagi setiap solat yang kalian  lakukan  apabila kalian berada di dalam keadaan suci. Andai kata 5  minit. Kenapa  tidak kalian gunakan 5 minit itu untuk membaca doa-doa  dan zikir-zikir  yang Rasulullah s.a.w. amalkan. Jika kalian solat malam  selama 1 jam di  bulan Ramadhan ketika kalian suci. Kenapa tidak kalian  gunakan sejam itu  dikala kalian uzur untuk kalian membanyakkan  istighfar, memohon  keampunan daripada Tuhan. Biarkanlah air mata kalian  keluar pada malam  itu. Biarkan ia menjadi saksi ketundukan kalian  kepada Allah yang Maha  Pengampun.
Wahai saudariku,
Jika kalian tidak berpuasa, gunakanlah kelebihan kekuatan yang ada  pada  hari itu untuk membantu kawan-kawan kalian yang berpuasa. Saudari  boleh  sediakan hidangan berbuka untuk mereka dan membiarkan mereka  berehat.  Saudari juga boleh membantu mereka melakukan kerja-kerja  rumah, dan  mengurangkan kerja-kerja mereka. Bukankah ini semua ibadah  wahai  srikandiku.
Wahai saudariku,
Jika saudari berpegang kepada ulama yang menyatakan haram wanita uzur   memasuki masjid, masjid banyak ibadah yang boleh saudari lakukan  di  rumah. Jika saudari berpegang kepada pendapat membenarkan saudari yang   uzur ke masjid, banyak juga yang saudari boleh lakukan di masjid   walaupun tidak bersolat.
Saudari boleh membantu menjaga kanak-kanak kecil yang sedang bermain   tatkala ibu bapa mereka bersolat. Saudari boleh bacakan kepada mereka   kisah-kisah nabi, saudari boleh mengajar mereka membaca Alif, Ba, Ta.   Saudari boleh menenangkan mereka tatkala mereka menangis menanti si ibu   yang sedang bersolat. Bukankah ini semua ibadah wahai srikandiku.
Ya ukhti,
Sungguh luas jalan ke syurga yang Allah bentangkan untuk saudari.   Janganlah saudari sempitkan jalan yang luas itu. Mahukah saudari   menempuh jalan mudah ke syurga? Bukankah jalan ke syurga dimudahkan   untuk mereka yang menuntut ilmu.
Saudari boleh gunakan masa yang biasa saudari lakukan untuk solat  dengan  membaca buku-buku agama. Saya nasihatkan saudari untuk memulakan  dengan  bahan bacaan asas agama. Saudari mulakanlah dengan membaca  buku-buku  berkaitan akidah. Pilihlah buku yang mudah. Saudari boleh  membaca Kitab  at-Tauhid karangan Shaikh Muhammad bin Abdul Wahab.  Sangat ringkas buku  ini dan mudah untuk saudari fahami. Saudari juga  boleh membaca buku  saudara Hafiz Firdaus Abdullah tentang contoh-contoh  hal yang boleh  merosakkan akidah. Selepas itu saudari hendaklah  membaca buku tentang  bersuci.
Buku kecil Sifat Wudhu Rasulullah amatlah berguna buat saudari.  Selepas  itu bacalah buku Sifat Solat Nabi untuk saudari memperbaiki  mutu solat  saudari. Saudari juga tidak boleh melupakan hukum-hakam khas  untuk gadis  atau wanita seperti saudari. Bacalah buku-buku berkaitan  hukum hakam  haidh, istihadah dan lain-lain. Saudara boleh membaca buku  karangan  Shaikh Shalih al-Utsaimin berkaitan hal ini.
Wahai saudariku,
Saya kira jika mahu ditulis kesemua di sini akan hal-hal yang boleh   dilakukan oleh wanita-wanita yang uzur, nescaya akan habislah dakwat   pena, akan menjadi bermuka-muka tulisan ini. Dan saudari juga mungkin   tidak akan mampu melaksanakan kesemuanya.
Ya ukhti,
Ingatlah Allah Maha Adil. Keuzuran pada wanita bukan penghalang  mereka  beribadah. Sematlah rasa cinta pada Tuhan, yakinlah pada  keadilanNya,  titiskanlah air mata memohon keampunanNya.


 
 
No comments:
Post a Comment