Perkara  pertama yang harus diperhatikan bila memilih jodoh (yang  berkaitan dengan persoalan wanita) demi untuk mencapai kehidupan yang  tenteram  supaya ikatan perkahwinan menjadi kekal serta tujuan-tujuan  yang baik dari perkahwinan itu ialah memilih isteri solehah. 
Hendaklah isteri itu seorang yang soleh dan berpegang teguh kepada  agama. Inilah tujuan utama perkahwinan yang harus diambil berat. Sebab  sekiranya isteri itu lemah agamanya, bagaimana dapat ia memelihara diri  dan maruahnya. Kalaulah berlaku sesuatu kecemaran yang menyentuh  kehormatan dirinya, tentulah muka suami akan terconteng arang, sedang  hatinya akan tergoda oleh perasaan cemburu, manakala kehidupannya ketika  itu akan menjadi sempit.
Kemudian jika si suami mengikutkan kata hati yang penuh dengan  cemburu itu, tentulah akan porak-peranda seluruh kehidupannya, dan jika  dia mengambil sikap mempermudahkan tentang perkara yang berlaku,  tentulah dia akan dituduh mengambil sikap enteng saja tentang agama dan  maruahnya, dan akan dituduh sebagai suami yang dayus. Walhasil si suami  akan berada dalam keadaan yang serba-salah Demikian pula sifat wanita yang rosak agamanya akan sering  mempermain-mainkan harta benda suaminya atau sebagainya, sehingga hidup  si suami dengannya akan sentiasa kurang tenteram. Jika suami terus  mendiamkan diri dan tidak melarang kelakuannya, nescaya ia menjadi  kongsi dalam maksiat dengan isterinya dan bererti menentang firman Allah  Ta’ala.
“Peliharalah diri kamu dan keluargamu dari api neraka.” (at-Tahrim: 6)
Jika si suami menegah si isteri dan melarang kemahuannya akan timbul  pula pertengkaran sehingga boleh memendekkan umur si suami. Sebab itulah  Rasulullah s.a.w sangat-sangat menggalakkan dan meransang supaya  memilih wanita yang kukuh agamanya. Baginda bersabda:
“Wanita itu dikahwini kerana hartanya atau kecantikannya,  keturunannya atau agamanya, maka hendaklah anda memilih yang mempunyai  agama yang kukuh, nescaya anda akan bernasib baik.”
Source: Bimbingan Mukmin


 
 
No comments:
Post a Comment