Anda inginkan petua-petua untuk menjadi pelajar cemerlang walau di mana sahaja anda berada?
Apa kata kita renungkan kembali beberapa petua atau tips kejayaan  yang telah Allah SWT titipkan di permulaan surah Al-Mu'minun, surah yang  ke-23 di dalam lembaran Al-Quran.
01.Keyakinan, kepercayaan and keimanan kepada Allah SWT 
"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman." [23:1]
Iman dan kejayaan disebut oleh Allah SWT dalam ayat yang sama. Maka  imanlah faktor utama kejayaan. Dan keyakinan yang tinggi inilah yang  akan melahirkan sikap positif yang bakal disebutkan dibawah.
02.Fokus, bersungguh-sungguh, sepenuh hati
"iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya." [23:2]
Lakukan satu-satu perkara dalam satu-satu masa. Jangan mencapah dan  melayang fikiran ke sana ke mari. Lakukan dengan sepenuh hati, bukan  sambil lewa.
03.Prioriti. Mengutamakan apa yang utama.
"dan orang-orang yang menjauhkan diri dari lagha (perbuatan dan perkataan yang tidak berguna)." [23:3]
Kebiasaannya dalam menghadapi musim peperiksaan yang penuh tekanan,  kita cenderung untuk berehat dan menenangkan minda dengan hiburan,  menonton drama, bersembang di Facebook dan seumpanya sehinggakan selalu  sahaja melebihi daripada masa rehat yang telah kita peruntukkan. 
Sebaik-baiknya kita mengoptimumkan penggunaan masa untuk belajar, dan  mengisi masa rehat kita dengan perkara-perkara yang berfaedah seperti  membasuh, melipat atau menggosok baju, bersenam untuk melancarkan  perjalanan darah di dalam badan dan bermacam-macam lagi yang anda  sendiri lebih sedia maklum.
Namun, sebaik-baiknya kita gunakan masa rehat itu untuk mengambil  wudu', melakukan solat sunat dan membaca Al-Quran. InsyaAllah apabila  kita lebih rapat dengan Allah SWT, jiwa kita akan lebih tenang dan ia  akan banyak membantu dalam usaha kita mengulangkaji pelajaran.
Kita dikehendaki menghindarkan diri dari perbuatan mengumpat  pensyarah/guru kerana perkara-perkara sebegini tidak mendatangkan faedah  kepada masa depan anda, tidak menambahkan markah untuk kertas  peperiksaan yang bakal/telah diduduki, malah boleh mendatangkan dosa dan  kemurkaan Allah SWT.
04.Prihatin sesama kita
"dan orang-orang yang menunaikan zakat." [23:4]
Walaupun sedang berada di saat-saat genting, janganlah kita bersikap  terlalu mementingkan diri, dan mengabaikan kawan-kawan yang lebih susah  di sekeliling kita. Kongsilah apa yang termampu, samada ilmu,  kertas-kertas soalan tahun lepas dan lain-lain. Sharing is caring.
05.Jaga hubungan antara lelaki dan perempuan
"dan orang-orang yang menjaga kehormatannya. kecuali terhadap  isteri-isteri mereka, atau hamba yang mereka miliki, maka mereka (isteri  dan hamba) dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari dibalik  itu, mereka itulah orang-orang yang melampaui batas." [23:5,6,7]
Janganlah kita menggunakan alasan belajar untuk melanggari  batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi, misalnya  dengan studi berdua-duan, kemudian pulang ke rumah berpimpin tangan,  atau asal tertekan je mesti nak bergayut atau berchatting dengan kawan lelaki/perempuan anda.
Padahal Allah SWT kan sentiasa ada, sentiasa melindungi dan sentiasa menolong jika kita mencari dan meminta pada-Nya.
06.Jujur, amanah
" dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah dan janjinya."[23:8]
Bukankah kita telah berjanji dengan pihak penaja dan ibu bapa kita  untuk belajar bersungguh-sungguh? Lebih penting lagi, bukankah kita  telah berjanji dengan Allah SWT untuk memanfaatkan peluang kehidupan  sebagai seorang pelajar yang telah dipinjamkan-Nya kepada kita sebagai  medan untuk kita mengutip ilmu, pengalaman dan pahala buat bekalan  di akhirat sana?
Elakkan menipu ketika peperiksaan. Andai penjaga peperiksaan meminta  kita berhenti menulis kerana masa sudah tamat, jangan pula kita terus  menulis. Sebaliknya sebutlah "Bismillahi tawakkaltu 'ala Allahi wala  haula wala quwwata illa billahil 'azim."
07.Tepati waktu
"dan orang-orang yang memelihara solatnya." [23:9]
Konsep yang boleh diambil dalam konteks kehidupan seorang pelajar  Muslim ialah supaya sentiasa belajar dengan berdisiplin, menepati masa,  tidak berlengah-lengah, menjaga kualiti dan produktiviti harian kita.  Jika sebelum ini kita diingatkan supaya berhenti menulis apabila tamat  masa peperiksaan, kita juga perlu memulakan perjuanganan kita dalam  pelajaran dan peperiksaan seawal yang mungkin. Memelihara solat lima  kali sehari setiap hari juga mengajar kita untuk tidak berputus asa atau  berpatang arang di pertengahan jalan.
Namun janganlah kita hanya mengaplikasikan konsep-konsep ini untuk  akademik semata-mata. Penekanan utama dalam ayat tersebut supaya kita  menjaga hubungan kita dengan Allah SWT kerana kita akan kembali  mengadap-Nya dengan amal-amal kita, bukan dengan berapa gulung ijazah  yang berjaya kita perolehi. Belajar dan ijazah hanyalah alat untuk kita  mencapai keredhaan Allah SWT dan merebut peluang mewarisi syurga-Nya.
" Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi. Iaitu yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka kekal didalamnya." [23:10,11]
" ....Maka di antara manusia ada yang berdoa: 'Ya  Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia.' Dan tiadalah baginya  bahagian di akhirat."[2:200]
"Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: Ya  Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan  peliharalah kami dari seksa neraka." [2:201]
"Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian dari apa yang mereka usahakan dan Allah sangat cepat perhitungannya." [2:202]


 
 
No comments:
Post a Comment