Cinta itu buta?
Cinta itu sesuatu yang suci. Datangnya Islam demi memelihara kesuciannya...
Cinta itu ibarat pelangi,
Yang memberi warna kepada kehidupan ini.
Cinta itu sesuatu yang suci. Datangnya Islam demi memelihara kesuciannya...
Cinta itu ibarat pelangi,
Yang memberi warna kepada kehidupan ini.
Cinta itu ibarat pelangi,
Menenangkan mata, pendamai jiwa.
Cinta itu ibarat pelangi,
Siapa melihat pasti terinspirasi.
Ya,
Cinta itu ibarat pelangi,
Hanyasanya cinta itu, cinta yang hakiki.
Menenangkan mata, pendamai jiwa.
Cinta itu ibarat pelangi,
Siapa melihat pasti terinspirasi.
Ya,
Cinta itu ibarat pelangi,
Hanyasanya cinta itu, cinta yang hakiki.
Mohd Syafiq, atau mudah dikenal dengan panggilan glamornya "Fiq" merenung lama kepada Firdaus.
Mohammad Firdaus, yang lebih mesra dipanggil "Daus" sudah kelihatan  amat berbeza berbanding dirinya yang dia kenali dahulu. Semenjak dua  menjak ini, Firdaus sering mengasingkan diri, sudah kurang berborak dan  bergurau dengannya. Dia hanya selalu berinteraksi dengan alatan-alatan  elektroniknya, yakni telefon bimbit dan juga komputer riba.
Firdaus dilihatnya seperti sudah berada dalam dunianya yang sendiri.
Selaku sahabat yang cukup rapat kepadanya, Syafiq amat risau melihat  keadaan Firdaus. Bukan dia tidak pernah mencuba untuk berbincang dengan  sahabatnya yang satu itu. Hanya selama ini, dia masih tidak menemukan  masa dan peluang yang benar-benar tepat dan sesuai. Dia tidak mahu  tergesa-gesa. Kini, masa dan peluang itu seakan tiba. Suatu petang yang  agak tenang dan bebas dari kesibukan bekerja. Rakan-rakannya yang lain  juga tidak datang bertandang di biliknya.
Syafiq pun bergerak memulakan bicara,
"Daus, aku tengok engkau sekarang dah lain la." Kata-kata Syafiq memecah kesunyian suasana.
Firdaus memalingkan wajahnya ke belakang melihat sahabatnya Syafiq.  Riak mukanya memancarkan kehairanan, seperti tidak memahami apa yang  dimaksudkan Syafiq.
"Hah. Aku dah lain? Mana ada Fiq... Aku sama je la. Engkau je silap perasan kot. Kalau aku dah semakin handsome mungkin la." Daus membalas kata-kata Syafiq dengan nada gurau.
"Ish engkau ni. Aku serius la. Aku tengok kau mandi dah tak basah,  makan dah tak kenyang, tidur dah tak lena. Kau ada apa-apa masalah ke  Daus?"
Terkoyak senyuman Firdaus. Dia mengeleng-gelengkan kepalanya. Syafiq,  dalam nada dan riak muka yang serius, sempat lagi membuat lawak. Memang  perwatakannya seperti itu. Selamba.
"Ceh, kau ni. Kata serius. Hmm..." Firdaus memikirkan kembali masalah  yang diketengahkan sahabatnya itu. Jauh di sudut hatinya, dia terpaksa  mengiyakan kata-kata sahabatnya itu. Kini, kehidupan dia terasa lain.  Ada beza.
"Mungkin betul jugak kata kau itu. Hmm.. Walaupun aku mandi masih  lagi basah, tapi aku memang rasa lain la. Hati aku rasa tak tenang, jiwa  sentiasa resah, otakku asyik memikirkan si dia je. Haihh." Firdaus  menghela nafas.
"Aku rasa Fiq, aku dah terkena penangan cinta la."
Firdaus meleraikan apa yang terbuku dalam dadanya. Satu-satunya  sahabat yang paling dia percayai adalah Syafiq. Maka dia kurang segan  untuk menceritakan masalah peribadinya kepada sahabatnya itu.
"Yang kau maksudkan, Azlina?" Syafiq mahukan kepastian, sambil dia mengambil tempat duduk di sebelah Firdaus.
Firdaus mengangguk perlahan. Syafiq dapat mengagak. Dia sering  melihat sahabat karibnya itu berdiskusi dengan Azlina dalam kumpulan  diskusi subjek 'Professional Communication Skill', ataupun lebih  dikenali sebagai "PCS". Salahnya bukan pada perbincangan itu. Tetapi  Firdaus kelihatan amat mesra dengan Azlina, sehinggakan, senda gurau dan  perkara-perkara yang mereka sembang sering meleret-leret kepada  perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan perbincangan. Hatta  berkenaan kehidupan peribadi sekalipun.
Bagi orang biasa, perkara ini bukanlah sesuatu yang dipandang pelik.  Namun tidak bagi Firdaus. Syafiq yang sudah berkawan dengannya selama 7  tahun, sejak tingkatan 1, amat mengenali sahabat karibnya. Firdaus ini  sikapnya pemalu. Dan dia juga punyai kefahaman akan adab-adab pergaulan  yang dibenarkan Islam.
"Ish, bahaya tu Daus!" Bicara Syafiq, sedikit meninggikan suara.
"Aku takut kau dah terkena zina hati je. Asyik fikirkan dia je, macam mana pula study  kau. Bagaimana tanggungjawab kau sebagai muslim. Jangan-jangan kau tak  boleh fokus nanti. Lagipun, kau nampak mesra sangat dengan dia tu. Kau  kena jaga-jaga Daus! Batas-batas pergaulan kena pelihara juga. Selama  aku kenal kau, kau ni agak pemalu orangnya." Dengan spontan kata-kata  itu tersembur dari mulut Syafiq. Terselit juga nasihat pada bait-bait  yang diucapkan tulus dari hatinya. Ia atas dasar kasihnya akan sahabat  paling rapat dengannya, Firdaus. Dia tidak mahu sahabat karibnya itu  tertipu dengan fatamorgana dunia yang sering tampak indah pada pandangan  mata.
"Aku rasa betul la apa orang kata..." Kata-kata Firdaus terhenti. Seakan tidak memberi respon kepada kata-kata Syafiq tadi.
"Orang kata apa? Orang kata apa?" Syafiq yang kehairanan, mengulangi  pertanyaan dua kali, menunjukkan keprihatinan yang tinggi terhadap  kata-kata Firdaus.
"Aku rasa.... cinta itu buta la Fiq."
*****
Petang itu, Mohammad Firdaus kelihatan agak teruja. Perkenalannya  dengan gadis 'ICT' bernama Nur Azlina dalam tempoh masa yang singkat  sudah cukup membuahkan perubahan yang drastik pada dirinya. Nur Azlina,  seorang wanita yang menurutnya berparas indah dan juga bertudung labuh,  telah menepati kriteria-kriteria wanita idamannya. Dia merasa amat  bertuah dapat mendekati wanita itu. Namun adakah caranya betul?
Firdaus tidak pasti. Tetapi dia merasakan dia sudah tidak mampu untuk  menolak arus cinta ini, yang dirasakannya terlalu deras, lalu  membiarkan dirinya hanyut di dalamnya. Dia yang dahulunya cukup terkenal  dengan sifat warak, malah turut digelar 'lelaki pemalu' oleh sebahagian  rakan-rakan wanita satu batchnya, kini seakan-akan sudah lupa dengan  apa yang menjadi pegangan dirinya selama ini.
Ungkapan 'setiap manusia pasti akan berubah', mampukah dijadikan alasan?
"Assalamu'alaikum." Sapa Firdaus dengan nada dan wajah yang ceria.
"Wa'alaikumsalam." Azlina tersenyum membalas salam. Manis.
Pertemuan mereka berdua-duaan ini merupakan buat pertama kalinya,  yang mereka adakan di sebuah restoran, berdekatan dengan IPT mereka.  Mereka yang pada mulanya segan silu dengan bebola-bebola mata yang  memerhati dari sekeliling mereka, lama-kelamaan sudah menjadi lali  dengan suasana itu. Mereka merasakan mereka sudah berada dalam dunia  mereka sendiri. Mereka hanyut!
Firdaus yang pada mulanya duduk bertentangan dengan Azlina menukar  tempat duduknya, mengambil tempat duduk bersebelahan dengan Azlina,  kerana merasakan kedudukan mereka kurang rapat. Kini, kedudukan mereka  amat rapat.
Lama-kelamaan, tangan Firdaus mula diangkat, lalu...
Syafiq menggeleng-geleng mendengar apa yang diceritakan sahabatnya, Firdaus.
Dia seakan tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Benarkah  rakannya yang sudah dia kenal lama itu sudah berubah sehingga begitu  sekali, hanya kerana seorang wanita? Ataukah ini hanya satu mimpi?
Namun, pengakuan itu tulus dari sahabatnya itu sendiri. Ini bukan  mimpi. Ini realiti. Dia tidak dapat tidak, mempercayainya. Syafiq jadi  teringat akan satu pesan Nabi Muhammad s.a.w., bahawa wanita itu  merupakan fitnah terbesar buat lelaki muslim akhir zaman. Kini, dia  sendiri terpaksa berdepan dengannya. Fitnah tersebut telah tertimpa ke  atas sahabat karibnya sendiri. Maka sekarang, apakah tindakan yang harus  dia lakukan? Otaknya berfikir ligat.
Firdaus pula yang amat mempercayai Syafiq, sanggup meluahkan segala  yang berlaku pada dua hari lepas. Walaupun pada mulanya dia segan,  namun, sebersit rasa tidak senang di dalam hatinya akan tindakannya  dahulu menyebabkan dia terus menceritakannya. Semuanya didedahkan secara  terperinci, tiada apa lagi yang terselindung.
"Betul apa kau kata itu Daus..." Syafiq cuba menyusun kata.
"Cinta itu buta dan dapat membutakan. Namun..." Firdaus merenung tepat muka Syafiq.
"Ianya tidak bagi orang-orang yang beriman. Cinta mereka tidak buta.  Cinta mereka tidak membutakan. Mereka punya iman. Maka, iman di dada  merekalah yang akan mengawal setiap tingkah laku mereka, mengatur gerak  geri mereka. Penglihatan nurani mereka jelas."
"Walaupun dalam bercinta?" Firdaus memotong.
"Ya, walaupun dalam bercinta." Syafiq membalas dengan nada sedikit tegas.
"Daus, cinta itu boleh menjadi buta......" Firdaus mengangkat wajahnya, berminat.
"Apabila cinta itu berlandaskan nafsu semata." Syafiq menyambung kata-katanya. Nada suaranya diturunkan kembali. Lembut.
Firdaus merasa terpukul. Tutur kata Syafiq membuatkan suara-suara  iman di hatinya kembali kedengaran. Kembali hidup. Imannya  menjerit-jerit keseksaan. Akan tetapi, gelojak nafsunya pantas  menepis-nepis suara-suara keimanannya itu tadi.
" Tapi.." Firdaus cuba bersuara mempertahankan dirinya. Namun belum  sempat dia meneruskan bicara, Syafiq telah memotongnya terlebih dahulu.
"Daus, sudahkah kau lupa akan firmanNya?" Syafiq berkata sedikit  meninggikan suaranya. Kata-katanya ditutur satu persatu, cuba  menghalusinya, kerana dia tidak mahu Firdaus merasa tersinggung. Jauh  skali niatnya untuk memperkecil-kecilkan sahabatnya itu.
Wajah Firdaus tidak menunjukkan apa-apa riak. Matanya kosong.
Kemudian, Syafiq membacakan maksud satu ayat Al-Qur'an yang masih segar tersemat dalam ingatannya. Surah Al-Jasiyah ayat ke-23,
"Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya  sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat dengan sepengetahuanNya,  dan Allah telah mengunci pendengaran dan hatinya serta meletakkan tutup  atas penglihatannya? Maka siapakah yang mampu memberinya petunjuk  setelah Allah membiarkannya sesat? Mengapa kamu tidak mengambil  pelajaran?"
Firdaus tertunduk di lantai. Tersentak dengan ayat Al-Qur'an yang  baru didengarinya tadi. Peringatan dari ayatNya memberi tamparan hebat  buat dirinya yang sudah mulai leka.
Tanpa dia sedari, air matanya mula mengalir, membasahi pipi. Semakin lama, semakin deras.
Dia kembali sedar. Selama ini, dia telah melebihkan cinta dan  nafsunya berbanding Allah. Walaupun dia dan Azlina tidak pernah sesekali  pun mengisytiharkan bahawa mereka sedang ber'couple', namun,  perbuatan-perbuatan mereka tempoh hari jelas-jelas membuktikannya.  Memang ia tidak dapat dinafikan lagi. Allah bukan mendapat tempat yang  pertama di hatinya. Dia mula merasakan kesal atas dosa-dosa yang telah  dia lakukan.
"Daus..." Syafiq datang mendekati Firdaus. Dia memegang erat tubuh  rakannya itu. Dia turut merasa kepedihan yang dialami sahabatnya itu.  Tanpa disedari, butiran-butiran air turut berguguran di atas pipinya.  Sungguh, orang-orang beriman itu seperti satu tubuh, yang mana jika satu  organ sakit, anggota-anggota lain turut merasainya.
"Cinta yang suci itu adalah... apabila kita cinta seseorang itu, dan  kita mahu bersama-sama dengannya menembus ke syurga. Sama-sama dalam  keredhaanNya." Syafiq masih berusaha memberi kefahaman dan kekuatan  kepada sahabatnya itu.
Dalam hati, Firdaus mengiyakan kata-kata sahabatnya itu. Ya, jika  benar cintanya tulus, sudah pasti dia tidak akan sanggup membiarkannya  kekasih yang dia cinta itu tercampak ke dalam api neraka. Bahagia di  dunia, namun di akhirat terseksa selama-selamanya. Adakah itu yang dia  mahukan? Sudah tentu tidak. Dan pasti, cintanya itu bukan cinta yang  tulus.
"Makanya Daus, sudah tentu, apabila kita benar-benar cinta akan  seseorang itu, kita tidak mahu si dia melakukan perkara-perkara yang Dia  larang, tidak mahu si dia mengerjakan perbuatan-perbuatan yang Dia  murka."
"Apatah lagi kalau kitalah sendiri yang menjadi penyebab kepada  dosa-dosa yang dia lakukan itu. Kan?" Syafiq cuba mengambil kepastian  dari Firdaus.
Firdaus hanya mengangguk-angguk perlahan. Beliau masih bisu tanpa bicara.
Seketika, keadaan bilik itu menjadi sunyi. Hanya sedu-sedan mengisi ruang.
Firdaus terasa amat bersalah. Dosa-dosa yang telah dia lakukan  bersama Azlina dirasakan terlalu berat untuk dipikulnya. Malah, dia  merasa tertampar kerana menganggap dirinyalah juga penyebab Azlina turut  sama melakukan perkara-perkara yang dimurkaiNya. Dia tertanya-tanya,  apakah dirinya ini masih layak berhadapan denganNya, meminta ampun  segala dosa. Dia merasa begitu hina. 'Ya Allah, dosaku menggunung,  apakah aku masih layak memohon belas dan simpati dariMu?'
"Namun Daus, yakinilah, pintu-pintu taubat itu sentiasa terbuka."  Syafiq cuba memujuk. Seakan-akan dia dapat membaca apa yang sedang  bermain di fikiran sahabatnya.
"Allah itu Maha Pengampun, dan tidak pernah jemu mendengar  rintihan-rintihan hamba-hambaNya. Kasih sayangNya itu sentiasa  mendahului kemurkaanNya. Dia pasti akan mengampuni hamba-hambaNya yang  insaf serta menyesal atas dosa-dosa yang dilakukan, lalu bergerak  memperbaiki diri ke arah yang lebih Dia redhai."
"Walaupun dosa itu tinggi menggunung sekalipun, Allah itu Maha  Pengampun terhadap hambaNya." Syafiq cuba meyakinkan, sambil  mengusap-ngusap lembut belakang tubuh sahabatnya.
"Surah Ali Imran, ayat ke-89."
"Kecuali orang-orang yang bertaubat setelah itu, dan melakukan perbaikan, maka sungguh, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang."
Syafiq tidak kekok untuk terus memberi curahan hati.
Mendengarkan ayat Al-Qur'an yang dibacakan Syafiq, Firdaus tiba-tiba  terasa seolah ada embun dingin menyelinap di lubuk hatinya. Hatinya  terasa tenang dan semakin lapang. Benarlah firman-Nya. Yang mana  orang-orang yang beriman itu, apabila diperingatkan dengan ayat-ayatNya,  akan menambahkan lagi iman dalam dada mereka. Tatkala diperingati akan  sifat-sifatNya, mampu memberi ketenangan kepada jiwa mereka.
Suasana bilik itu kembali kaku seketika. Hanya keheningan menggamit suasana.
"Tapi... aku... aku rasa tidak kuat la Fiq." Firdaus kembali  bersuara, memecah kesunyian. Suaranya serak dan tersekat-sekat menahan  isak tangisan. Sungguh berat dirasakan ujian yang menimpa. Dia mahu  berubah. Namun, adakah dia mampu menghadapi segala-segalanya?
"Daus, Allah itu ada dengan kita."
"Allah itu tidak jauh. Bahkan sungguh dekat. Bukankah dia sudah berjanji akan bersama-sama dengan mereka yang sabar...."
"Dan Allah tidak akan pernah memungkiri janjiNya." Syafiq cuba memberi sinar-sinar harapan kepada sahabatnya.
"Dan aku, aku juga akan sentiasa bersama engkau Daus, walauapapun yang berlaku. " Lembut tuturnya.
"Walauapapun berlaku." Syafiq mengulangi lagi kata-katanya tadi. Ikhlas, dia menutup bicara.
Rangkulan antara kedua sahabat itu semakin erat. Bersama-sama, mereka  larut dalam tangisan. Suasana yang pasti menggamitkan hati, bagi  sesiapa yang melihat.
Kini, Firdaus merasa semakin kuat untuk menempuh ujian-ujian yang  bakal mendatang. Bait-bait kata Syafiq yang tulus, cukup membuatkan  dirinya kembali tersedar. Keterikatan ukhwah dan keprihatinan Syafiq  akannya, amat-amat bertepatan dengan waktu dan kondisi dirinya.  Langkahnya yang dirasakan longlai terasa disokong, menjadikan bebannya  yang terpikul di bahunya terasa semakin ringan. Cahaya harapan untuk  kembali kepadaNya yang kelihatan kelam seakan-akan dinyalakan kembali.  Dengan Syafiq menjadi sokongan, Firdaus tidak merasa keseorangan dalam  menanggung beban.
Kesedaran Firdaus kini jelas. Dia sedar bahawa dirinya telah tertipu  dek fatamorgana dunia yang bernama cinta. Benar jangkaan awalnya, cinta  itu buta. Namun dia tersilap. Tidak semua cinta itu buta. Cinta yang buta itu hanyalah cinta yang berlandaskan nafsu semata. Cinta yang tidak tulus. Cinta yang menipu. Cinta yang hanya membawa mereka sama-sama menuju kehancuran, yakni menuju neraka.
Sesungguhnya, bagi orang-orang beriman itu, cinta mereka tidak buta.  Dengan cinta, mereka tetap mampu mengawal dirinya, mengawal rasionalnya.  Dengan cinta, mereka tidak mengheret diri mereka bersama-sama  kekasihnya ke dalam lubang kehinaan.
Puncanya? Iman. Ya, iman kuncinya.
Keyakinan tinggi mereka akan Allah dan azabNya. Itulah kekuatan  mereka. Iman itulah yang menjadi pengemudi kepada cinta, bukan cinta  yang mengawal keimanan mereka. Malah dengan cinta, penglihatan nurani  mereka lebih jernih dalam menilai jalur-jalur kehidupan. Cinta kurniaan  Tuhan itu jugalah mampu membantu mereka semakin dekat kepada Allah,  semakin memperkuat iman dalam dada mereka.
Seperti sebuah kenderaan yang digunakan untuk mencapai satu destinasi  tujuan. Kenderaan itu hanyalah berfungsi sebagai alat untuk  mempermudahkan manusia mencapai tempat yang dituju. Sedangkan tanpa alat  itupun, matlamat masih dapat dicapai melalui pelbagai cara atau kaedah  yang lain. Maka, alat tetap alat, bukannya matlamat. Cinta itu jua  hakikatnya alat. Alat untuk mencapai matlamat. Dan sesungguhnya,  matlamat seseorang muslim itu seharusnya tidak lain untuk berjaya meraih  redhaNya. Itu sahaja.
Maka, sejak detik itu, Firdaus berazam kuat untuk memperbaiki  dirinya. Dia insaf. Akan dia pastikan, cinta yang akan dia bina nanti,  benar-benar cinta yang tulus. Cinta yang suci dari najis-najis dosa.  Cinta yang dibina atas dasar untuk mencari keredhaan Allah, bukan  mencari Allah untuk mendapatkan cintanya.
Azamnya jelas. Dia mahu bersama-sama dengan kekasih halalnya nanti, bercinta, biar menembus hingga ke syurga.
Firdaus tekad.


 
 
No comments:
Post a Comment