Selagi dinamakan manusia, kita mempunyai perasaan suka mengasihi dan  dikasihi. Memang adat kehidupan bahawa kasih cinta didahului dengan  berasa rindu, namun jangan pula rindu berlebihan.
Kerinduan kepada kekasih, sering kali membekaskan duka, penyakit menyebabkan kelemahan hati.
Kita sebenarnya berperang dengan perasaan. Namun, seorang Muslim akan  terasa nikmat jika dapat menjauhi keluhan, kesedihan dan kerinduan ini.
Ibnu Qayyim memberikan terapi mujarab mengenai masalah rindu.
Sebelum itu beliau memberikan sebab mengapa rasa rindu berlebihan  terjadi. Antaranya: Hati tidak terisi oleh rasa cinta, syukur, zikir dan  ibadah kepada Allah sebaliknya membiarkan mata meliar. Pandangan dan  renungan mata adalah jalan membawa kepada kesedihan dan keresahan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Pandangan mata itu satu daripada sekian banyak anak panah iblis."
Setiap penyakit ada ubatnya. Ubat yang terbaik adalah meneguk daripada pengajaran Al-Quran seperti firman Allah yang bermaksud:
"Demikianlah supaya kami memalingkan daripadanya  kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba kami  yang terpilih." (Surah Yusuf, ayat ke-24)
Berikut adalah beberapa tips yang ingin dikongsikan bersama :
Ikhlas kepada Allah.
Ikhlas adalah ubat penyakit rindu. Ikhlas kepada Allah bermakna  selalu berusaha berada di pintu ibadah dan memohon kesembuhan daripada  Allah. Jika kita ikhlas kepada Allah, Allah akan menolong kita daripada  penyakit kerinduan melalui cara tidak pernah terdetik di hati.
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah mengatakan:
"Sungguh jika hati telah berasakan manisnya ibadah  kepada Allah dan ikhlas kepada-Nya, nescaya ia tidak akan menjumpai hal  lain yang lebih manis, indah, nikmat dan baik daripada Allah. Manusia  tidak akan meninggalkan sesuatu dicintainya, melainkan selepas  memperoleh kekasih lain yang lebih dicintainya.
Doa mengundang sikap, rasa fakir dan rendah diri di hadapan Allah.
Oleh itu doa adalah salah satu bentuk ibadah yang agung. Ketika kita  berada dalam kesempitan, kita bersungguh-sungguh dalam berdoa, berasakan  Allah amat dekat mendengarkan rayuan.
Mengurus mata dan pandangan.
Pandangan yang berulang-ulang adalah suis penting menyalakan api  rindu. Orang yang memandang dengan sepintas lalu jarang berasakan hati  terusik dan jatuh.
Ibnu Qayyim menyatakan:
"Orang berakal tidak mudah tergelincir jatuh hati  dan rindu, dia tidak tertimpa pelbagai kerosakan. Barang siapa yang  terjun ke dalamnya maka ia termasuk orang yang menzalimi diri sendiri,  tertipu dan akhirnya binasa. Jika dia tidak melakukan pandangan  berkali-kali terhadap orang yang dikagumi dan usahanya itu meragut  benang asmara, pastilah asmara tidak akan kukuh mencengkam jiwanya."
Bernikah dan membina rumah tangga adalah langkah paling baik.
Inilah ubat rindu paling baik. Tidak semestinya bernikah dengan orang  yang kita kagumi. Meskipun pernikahan itu dilangsungkan tidak dengan  orang dicintai dan diidamkan.


 
 
No comments:
Post a Comment