Jika seorang lelaki menyatakan hasrat kepada seorang perempuan untuk  dijadikan isteri dan wanita itu bersetuju, adakah ia dikira bertunang  walaupun ibu bapa perempuan itu belum tahu atau tidak kenal pihak  lelaki?
Jawapan
Makna pinang dari segi syarak  adalah pihak lelaki menyatakan hasrat berkahwin kepada pihak perempuan.  Apabila pihak perempuan berkata setuju, maka perempuan itu sudah dikira  menjadi tunang kepada lelaki tersebut.
Contohnya apabila seorang lelaki berkata kepada seorang perempuan, "Aku ingin jadikan kamu sebagai isteriku."
"Kahwin la dengan kita bila-bila," jawab perempuan tersebut.
Maka dari segi hukum syarak, tatkala pihak perempuan itu bersetuju,  dia telah menjadi tunang kepada lelaki tersebut; walaupun ia disebut  dalam telefon.
Jadi, haram bagi lelaki lain untuk masuk meminang jika hal itu  diketahui. Namun jika pihak lelaki lain yang ingin masuk meminang itu  tidak tahu, maka ia tidak haram.
Bagaimana dengan kebiasaan orang Melayu yang menghantar rombongan meminang untuk lelaki meminang perempuan?
Ia hanyalah adat Melayu, dan tiada kena mengena dengan hukum Islam. Antara hukum Islam dan hukum adat, mana satu lebih penting?
Namun tiada masalah dengan adat Melayu itu, cuma dari segi hukum  Islam, bertunang itu adalah apabila seorang perempuan itu bersetuju  dengan hasrat pihak lelaki untuk menjadikannya seorang isteri.
Bagaimana Jika Perempuan Itu Ketiadaan Ibu Dan Ayah?
Mengikut hukum syarak, jika perempuan itu persetujuannya  sudah diizinkan oleh syarak seperti perempuan yang cerdik, yang sudah  baligh dan sebagainya, ia sudah dianggap bertunang jika dia bersetuju  dengan pelawaan lelaki yang menyatakan hasrat mengahwininya.
Apabila perempuan itu persetujuannya tidak menepati hukum syarak  seperti belum baligh, gila dan lain-lain, maka wali diperlukan untuk  menjawab 'pinangan' tersebut.
Kesimpulannya, kita perlu berhati-hati kerana kita boleh menjadi tunang orang tanpa kita sedar. Pastinya ramai yang tidak tahu dan perasan akan hakikat ini.


 
 
No comments:
Post a Comment