Sunday, October 23, 2011

C.I.N.T.A




Islam tidak memusuhi cinta kerana ia adalah fitrah manusia. Islam memandang tinggi persoalan cinta yang tentunya merupakan perasaan dan fitrah yang menjiwai naluri setiap manusia. Cinta dalam Islam antaranya:

1. Cinta kepada Allah.

Islam meletakkan cinta yang teragung, iaitu cinta kepada Allah kerana ia menjadi tunjang bagi mengenali, mencintai dan memperhambakan diri kepada pencipta-Nya. Tanpa c...inta kepada Allah, perlakuan hamba tidak memberi pulangan yang bererti, dengan cinta akan mendorong manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah serta menerbitkan iman yang mantap.

Firman Allah s.w.t:
“... (Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain daripada Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah...” (Al-Baqarah : 165)

2. Cinta kepada Rasulullah s.a.w. dan Para Nabi

Para Nabi diutuskan oleh Allah untuk membimbing dan mengeluarkan manusia dari kegelapan ke arah jalan kebenaran.

Menjadi satu kewajipan kepada setiap yang mengaku dirinya sebagai muslim memberikan cintanya kepada Rasulullah dan para Nabi dengan mengikut segala sifat yang terpuji kerana perasaan kecintaan inilah, para sahabat sanggup mengorban harta dan nyawa mereka malah sanggup menjadikan tubuh masing-masing sebagai perisai demi mempertahankan Rasulullah s.a.w dalam usaha Baginda untuk menyebarkan agama Islam.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, ada disebut:

“Diriwayatkan daripada Anas r.a, katanya: Nabi s.a.w bersabda: Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperoleh kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain kedua-duanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya daripada kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam neraka.” (HR Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Nasaie)

3. Cinta Sesama Mukmin

Perasaan kasih sayang sesama manusia merupakan tunggak utama untuk menyalurkan konsep persaudaraan. Cinta inilah yang mengajar kita supaya mencintai ibu bapa dan keluarga. Selain daripada cinta kepada kedua-dua ibu bapa, Islam juga meletakkan cinta sesama mukmin sebagai syarat kepada sebuah perkumpulan atau jemaah yang layak bersama Rasulullah s.a.w.

Maksud firman Allah s.w.t:
“... Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam)...” (Al-Fath: 29)

Inilah yang telah diajar oleh Islam. Betapa agungnya unsur kasih sayang dan cinta yang terdapat di dalam Islam dan begitu jualah agungnya penjagaan Islam sendiri terhadap umatnya supaya tidak mencemarkan kesucian cinta dengan kekotoran nafsu. Cinta haruslah diasaskan di atas dasar keimanan kepada Allah. Alangkah ruginya cinta yang lari dari landasan iman. Lalu akan hanyutlah jiwa-jiwa yang menyerahkan dirinya untuk diperlakukan oleh ´syaitan cinta´ sewenangnya-wenangnya.

Sesungguhnya cinta sebelum perkahwinan merupakan cinta palsu walaupun dihiasi dengan pujuk rayu manja kerana itu hanya panggilan ke lembah maksiat dan kebinasaan. Masa muda yang dianugerahkan oleh Allah hanyalah sekali berlaku dalam hidup dan tidak berulang lagi untuk kali kedua atau seterusnya.

Maka dalam meniti usia, para muslim dan muslimah terutamanya remaja dan muda mudi kita perlu berhati-hati dengan mainan perasaan walaupun merupakan perkara yang amat sukar dilakukan, apatah lagi semakin dihambat usikan perasaan, semakin ia datang mencengkam. Itulah azam kita untuk melawan nafsu dan alangkah malunya untuk kita tewas dan kita sendiri merelakan diri dibawa oleh arus yang menghancurkan. Bila cinta menjadikan seseorang itu 'mabuk cinta', dia akan kehilangan arah dan kawalan sebagaimana mabuknya seorang peminum arak, aqalnya tidak terkawal, hatinya tidak tersantun, imannya tidak terkawal lalu merudum menjadi manusia yang bersifat haiwan. Akibat cinta manusia berzina, membuang bayi serta membunuh dir dan apa sahaja yang disukai syaitan akan dilakukannya demi sebuah cinta dan kemabukannya.

Oleh itu marilah kita berdoa spt yang pernah diajar nabi,
"Ya Allah, jadikan hamba-Mu ini mencintai orang yang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku." (Riwayat Muslim)

No comments:

Post a Comment