"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Adam Haikal tegas dan yakin. Tiba-tiba mata merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah. "Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Qistina dengan suara tersekat-sekat.
Mata Adam Haikal liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Qistina. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Qistina langsung tidak selari dengan penampilannya. "Saya ingat kita lama berkawan, awak bujang. Tapi rupa-rupanya… " Qistina mula sebak. "Tak. Maksud saya…" "Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!"potong Qistina dengan kasar. "Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua asih bwak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Qistina semakin tinggi, setinggi egonya. Adam Haikal diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Qistina' di sebalik Qistina yang dia kenal selama ini. Qistina bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Adam Haikal seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu. Adam Haikal muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya. "Ada hikmah," bisik hati kecil Adam Haikal, sekecil pandangannya terhadap Qistina. Hujung minggu berjalan seperti biasa.
Program-program dakwah menyibukkan jadual Adam Haikal sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak. Keyakinan serta keaktifan Adam Haikal berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam persatuannya. Malah, Adam Haikal dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Qistina terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Adam Haikal. Bagi Qistina, Adam Haikal seperti pelengkap kepada dirinya.
Namun, hanya sehingga saat Adam Haikal melamarnya menjadi isteri kedua. Adam Haikal masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Qistina nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Qistina, namun sikap Qistina yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Adam Haikal tersebut. Bagi Qistina, Adam Haikal tak ubah seperti lelaki lain. Gerak kerja dakwah Adam Haikal berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu kehilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Adam Haikal semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Adam Haikal – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Adam Haikal.
Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Adam Haikal dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Qaseh Aleeya. Adam Haikal sekali lagi gusar takut-takut Qaseh Aleeya tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Adam Haikal menemui Tuhannya, namun, Qaseh Aleeya yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Qistina atau tidak? Adam Haikal bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Qaseh Aleeya ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Qaseh Aleeya daripada beberapa sahabat terdekatnya, Adam Haikal berjumpa dengan Qaseh Aleeya bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Adam Haikal mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Qistina.
"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Adam Haikal tanpa segan silu.
"Sudi," jawab Qaseh Aleeya ringkas.
"Er, betul ke ni?" tergagap Adam Haikal menerima jawapan Qaseh Aleeya yang tenang dan yakin.
Qaseh Aleeya mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Adam Haikal."Kenapa saya?" tanya Adam Haikal ingin tahu. "Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Qaseh Aleeya yakin tetapi sedikit malu. "Baiklah," jawab Adam Haikal tersenyum. Akhirnya, Adam Haikal dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini.
Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Qaseh Aleeya, Adam Haikal terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Qaseh Aleeya sangat membantu gerak kerja Adam Haikal semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Adam Haikal membawa Qaseh Aleeya untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Qaseh Aleeya.
Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Adam Haikal. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Qaseh Aleeya juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya."Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Qaseh Aleeya dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah. "Ye sayang?" jawab Adam Haikal sambil memandu.
"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Qaseh Aleeya yang sangat teringin berjumpa dengan madunya. "Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Adam Haikal menoleh sedikit ke arah Qaseh Aleeya, sambil tersenyum.
"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Qaseh Aleeya riang.
Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Adam Haikal dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Qaseh Aleeya, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Adam Haikal yang banyak membantu selama ini.
Tidak hairanlah Adam Haikal aktif dalam dakwah sebelum ini. "Kita dah sampai," Adam Haikal membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya. Adam Haikal berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Qaseh Aleeya yang berdiri di sebelah kiri kereta. "Itu isteri pertama abang,"Adam Haikal menuding jari ke arah khemah tersebut "Mana bang?" Qaseh Aleeya mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Adam Haikal. "Tak nampak pun," Qaseh Aleeya meninggikan sedikit hadapan kakinya. "Siapa nama isteri pertama abang?" Qaseh ALeeya sangat berdebar.
Adam Haikal tersenyum lebar, memandang Qaseh Aleeya penuh tenang.
"PERJUANGAN... " jawab Adam Haikal.
************************************************************
Sedarlah semua wahai muslimah serikandi dan perwira Islam ... kalian akan dimadukan! Jika dirimu bakal seorang isteri…
Terimalah kenyataan bahawa anda akan dimadukan, bahkan anda bukan isteri pertama yang bakal dikahwini tetapi anda adalah bakal isteri kedua kerana isteri pertama bagi suamimu ialah perjuangan Islam!Perkahwinan ini telah lama dilangsungkan… Kehadiran dirimu adalah untuk bersama berganding bahu memperjuangkan islam bukan menjadi batu penghalang perjuangan suamimu. Janganlah jadikan dirimu sebagai punca serta merendahkan harga diri mu dengan terjadinya perceraian suamimu dengan isterinya yang pertama iaitu perjuangan islam! Jika dirimu bakal seorang suami…
Terimalah bahawa anda bukanlah suami yang pertama yang bakal dinikahinya atau insan yang pertama yang dicintai dan disayangi oleh bakal isterimu! Bahkan dirimu adalah insan yang kedua yang dicintainya, kerana suami yang pertama baginya ialah perjuangan islam dan memartabatkannya. Dia mencintaimu kerana dirimu mencintai islam dan memperjuangkan islam. Jika dirimu tidak sedemikian, sekelumit cinta pun tidak akan lahir dalam sanubari isterimu… Bantulah isterimu atau suamimu dan kuatkanlah dia untuk meneruskan perjuangan islam ke serata dunia!!Takbir ! Allahuakbar!
mY MooD :: Wahai kaum lelaki.. nyatakan siapakah isteri pertama mu!!!
sesungguhnya kita dijadikan di muka bumi ini adalah menjadi hamba ALLAH yang taat dan Khalifah Allah....(^^,)
No comments:
Post a Comment