Terdapat seorang pemuda yang kerjanya menggali kubur dan mencuri kain  kafan untuk dijual. Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa dengan  seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya dan keinginan untuk  bertaubat kepada Allah s. w. t. Dia berkata, "Sepanjang aku menggali  kubur untuk mencuri kain kafan, aku telah melihat 7 perkara ganjil yang  menimpa mayat-mayat tersebut. Lantaran aku merasa sangat insaf atas  perbuatanku yang sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat." 
" Yang pertama, aku lihat mayat yang pada siang harinya menghadap  kiblat. Tetapi pabila aku menggali semula kuburnya pada waktu malam, aku  lihat wajahnya telahpun membelakangkan kiblat. Mengapa terjadi begitu,  wahai tuan guru?" tanya pemuda itu. " Wahai anak muda, mereka itulah  golongan yang telah mensyirikkan Allah s. w. t. sewaktu hidupnya.  Lantaran Allah s. w. t. menghinakan mereka dengan memalingkan wajah  mereka dari mengadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada golongan  muslim yang lain," jawab ahli ibadah tersebut. 
Sambung pemuda itu lagi, " Golongan yang kedua, aku lihat wajah mereka  sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang lahad. Tatkala malam  hari ketika aku menggali kubur mereka, ku lihat wajah mereka telahpun  bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya, wahai tuan guru?" Jawab  ahli ibadah tersebut, " Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang  meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya. Sesungguhnya solat  merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika sempurna solat, maka  sempurnalah amalan-amalan kita yang lain," 
Pemuda itu menyambung lagi, " Wahai tuan guru, golongan yang ketiga yang  aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa sahaja.  Apabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, ku lihat perutnya  terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu banyak daripada  perutnya itu." " Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang  haram, wahai anak muda," balas ahli ibadah itu lagi. 
" Golongan keempat, ku lihat mayat yang jasadnya bertukar menjadi batu  bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?"  Jawab ahli ibadah itu, " Wahai pemuda, itulah golongan manusia yang  derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu hayatnya. Sesungguhnya Allah s.  w. t. sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai ibu  bapanya." 
" Golongan kelima, ku lihat ada pula mayat yang kukunya amat panjang,  hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari tubuh  badannya," sambung pemuda itu. " Anak muda, mereka itulah golongan yang  gemar memutuskan silaturrahim. Semasa hidupnya mereka suka memulakan  pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari. Bukankah  Rasulullah s. a. w. pernah bersabda, bahawa sesiapa yang tidak bertegur  sapa melebihi 3 hari bukanlah termasuk dalam golongan umat baginda,"  jelas ahli ibadah tersebut. 
" Wahai guru, golongan yang keenam yang aku lihat, sewaktu siangnya  lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku menggali semula kubur  itu, ku lihat mayat tersebut terapung dan lahadnya dipenuhi air hitam  yang amat busuk baunya," " Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan  harta riba sewaktu hayatnya," jawab ahli ibadah tadi. 
" Wahai guru, golongan yang terakhir yang aku lihat, mayatnya sentiasa  tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian halnya wahai  tuan guru?" tanya pemuda itu lagi. Jawab ahli ibadah tersebut, " Wahai  pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu. Dan mereka beramal  pula dengan ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang beroleh  keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah s. w. t. baik sewaktu hayatnya  mahupun sesudah matinya." 
Ingatlah, sesungguhnya daripada Allah s. w. t kita datang dan kepadaNya  jualah kita akan kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap  amal yang kita lakukan, hatta amalan sebesar zarah. Wallahua'lam.. 


 
 
No comments:
Post a Comment