Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia  berkata, "Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong  berikan aku nasihat." Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim  berkata, "Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya,  maka boleh kamu melakukan maksiat." Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar  bertanya. "Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"
Ibrahim bin Adham berkata, "Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada  Allah, jangan memakan rezekinya." Mendengar itu dia mengernyitkan kening  seraya berkata, "Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di  bumi ini rezeki Allah? "Ya!" tegas Ibrahim bin Adham. "Kalau kamu sudah  memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu  berkeinginan melanggar larangan-Nya?"
"Yang kedua," kata Ibrahim, "kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di  bumi-Nya! Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim  kembali berkata kepadanya, "Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu  layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu  melanggar segala larangan-Nya?"
"Ya! Anda benar." kata lelaki itu. Dia kemudian menanyakan syarat yang  ketiga. Ibrahim menjawab, "Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah  tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!" Lelaki itu  kembali terperanjat dan berkata, "Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana?  Mana mungkin Allah tidak melihat kita?" "Ya, kalau memang yakin  demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?" kata  Ibrahim. Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.
Ibrahim melanjutkan, "Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu,  katakanlah kepadanya, 'Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu  bertaubat dan melakukan amal soleh'." Kemudian lelaki itu menggelengkan  kepala dan segera tersedar, "Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut  akan memenuhi permintaanku?"
"Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh  menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau  boleh lari dari kemurkaan Allah?"
"Baiklah, apa syarat yang kelima?" Ibrahim pun menjawab, "Wahai Abdullah  kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di  hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya."
Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, "Wahai Aba  Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak  kehendaknya." Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air  matanya bercucuran. "Mulai saat ini aku bertaubat kepada Allah." katanya  sambil terisak-isak.


 
 
No comments:
Post a Comment