Bismillahirahmanirahim..
 Setiap manusia yang Allah cipta sentiasa akan diberi musibah,ujian  atau masalah hidup didunia yang sementara ini.Tipu jika seseorang itu  berkata yang dia tidak pernah ditimpa musibah. Setiap orang ada  masalahnya tersendiri,Allah uji dengan berbagai-bagai ujian tetapi  sebabnya adalah sama. 
 Allah menguji seseorang itu kerana Allah swt mempunyai  rahsianya tersendiri, sama ada Allah hendak tambah iman kita atau hendak  uji sejauh mana keimanan kita. Dan kerana sesuatu ujian itulah  yang membuka mata hati kita,yang mendidik kita supaya jangan mudah  putus asa dalam kehidupan yang bagaikan bahtera dilautan yang penuh  dengan onak duri,ujian juga dapat mematangkan kita.
    Kadang-kadang kita tertanya-tanya, mempersoalkan kepada Allah swt  kenapa kita diberi ujian yang berat sebegitu sekali sehingga kita  terlupa pada siapa yang perlu kita mengadu segala masalah kita, pada  siapa kita harus minta kembali kekuatan kita. Astagfirullah, lemahnya  dan rendahnya iman kita.
 Tidak redha dalam menghadapi ujian yang Allah beri terhadap kita.  Jika kita anggap diri kita ditimpa musibah yang besar kita hendaklah  ingat bukan kita sahaja yang mengalaminya,mungkin ada sahabat-sahabat  kita @ saudara seakidah kita yang lain menghadapi musibah yang sama  bahkan lebih teruk atau lebih besar dari kita.
 Bukankah,Allah telah berkata dengan jelas di dalam Al-Quran yang Allah tidak akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya.  Allah tahu kita kuat dalam menghadapi ujianNya jadi Allah berikan ujian  itu ke atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan  kasihnya Allah kepada kita sebagai hambaNya.
 Allah menguji seseorang bukan kerana Allah benci kepada kita tetapi  percayalah yang Allah sangat kasih kepada kita. Cuma kita sebagai  hambaNya tidak pernah hendak bersabar dalam menghadapi ujianNya. Pasti  Allah telah aturkan yang terbaik buat kita kerana setiap yang berlaku  ada hikmahnya.
 Alihkan pandangan matamu ke arah LAUT, airnya cantik membiru dan  penuh dengan ketenangan. Tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui  rahsia di dalamnya. Begitu juga dengan kehidupan manusia, riang dan  ketawa tetapi hanya Allah yang mengetahui rahsia kehidupannya. Jika rasa  kecewa, alihkan pandanganmu ke arah SUNGAI, airnya tetap mengalir  biarpun berjuta batu yang menghalangnya. Dan jika rasa sedih,alihkan  pandanganmu ke arah LANGIT, sedarlah dan sentiasa ingatlah bahawa Allah  sentiasa bersamamu.
 Jadi seharusnya apa yang perlu kita lakukan? berdoalah kepada Allah,  Allah lah tempat kembali segala masalah yang sering membelenggu diri  kita. Jangan malu untuk merayu-rayu, meminta-minta, memohon-mohon kepada  Allah swt.Selalu diingatkan yang Allah tidak pernah jemu mendengar  rintihan hambaNya, Allah itu Maha Mendengar.
 Dekatkanlah diri kita dengan pencipta kita yang menguasai seluruh  alam, yang memegang hati-hati kita. Disamping berdoa perlulah kita  berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi. Mungkin ada yang rasa diri  mereka tidak kuat hendak hadapinya tetapi cubalah bangun! Usah tewas  dengan hasutan syaitan, cari kembali kekuatan kita kerana kekuatan itu  ada dalam diri kita masing-masing. Yakin dengan diri, kuatkan azam dan  cita-cita. Usah tonjolkan kelemahan kita pada syaitan kerana syaitan  tidak pernah berhenti menghasut agar kita lemah-selemahnya.
 Jika rasa tidak kuat, carilah sahabat-sahabat yang sentiasa memberi  kata-kata semangat kepada kita dan bukan sahabat yang menjatuhkan kita.  Itulah pentingnya sahabat kerana kita tidak mungkin bisa hidup  berseorangan.
 Kita perlu tahu selepas ujian itu selesai, satu lagi ujian akan  datang, maka bersedialah dalam menghadapi ujian yang seterusnya. Untung  bagi mereka yang selalu diberi ujian tanda Allah swt sayang padanya.  Semoga kita sentiasa menjadi hambaNya yang sentiasa redha atas ujian dan  ketentuan Allah swt. Apa yang ditetapkan untuk kita itulah yang terbaik!


 
 
No comments:
Post a Comment